Kerajaan Sabah Akan Segerakan Penebatan Banjir di Kg Sugud

  • 19/09/2021
  • Misc
Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan sedang melihat plan tekanan banjir

PENAMPANG: Kerajaan Sabah akan mempercepatkan kerja-kerja penebatan banjir agar bencana banjir lumpur yang menimpa Kampung Sugud tidak berulang lagi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata fasa ketiga projek itu akan menelan belanja sekitar RM9 juta.

Projek ini, yang akan melibatkan 1.13 kilometer Sungai Sugud, dijangka dapat disiapkan dalam tiga tahun. Perkara ini mengambil masa yang lebih lama kerana melibatkan pengambilan tanah, penempatan semula dan pampasan bagi mereka yang tinggal di tepi sungai.

“Projek ini sebenarnya akan dimulai tahun depan, tetapi telah dipercepatkan memandangkan keadaan musim tengkujuh yang sedang melanda.

Kampung Sugud dan beberapa Kampung di sekitar Penampang menjadi “kampung berlumpur” dan menjejaskan lebih dari 3,000 orang.

Selain kerosakan harta benda, penduduk kampung juga mengalami gangguan bekalan air dan elektrik.

Beliau juga berkata bahawa kesejahteraan rakyat akan diutamakan oleh kerajaan. Ekoran daripada itu jabatan dan agensi kerajaan yang berkenaan telah tampil untuk memberikan bantuan yang diperlukan.

Akhirnya, beliau menyatakan harapan agar Persidangan Dewan Undangan Sabah yang akan diadakan minggu depan akan membawa banyak manfaat dan kebaikan dalam pelbagai isu mulai dari banjir, Covid-19 dan perkara-perkara yang akan mempengaruhi masa depan Sabah.