Gazet 31 Ogos, impian rakyat Sabah ~ Jalumin

  • 07/07/2021
  • Misc
Sebahagian gambar sambutan Hari Sabah

Kota Kinabalu, 7hb Julai 2021: Timbalan Presiden StarSabah, Jalumin Bayogoh menzahirkan rasa gembira atas kenyataan YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan baru-baru ini yang mencadangkan agar tarikh 31hb Ogos digazetkan sebagai Hari Sabah.

Sambutan memperingati Hari Kemerdekaan dua wilayah di Borneo ini menjadi rancak sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Pada tahun 2013, BHF (Borneo Heritage Foundation) telah mengadakan Sambutan Hari Sarawak yang pertama di Kuching. Sambutan ini telah dipengerusikan oleh Tuan Jalumin Bayogoh dan Dr Jeffrey sebagai Penasihat.

Sebagai makluman, BHF adalah Persatuan Orang Asal (Dayak) di Sabah dan Sarawak.

Kebangkitan semangat rakyat Sarawak menjulang tinggi selepas program ini. Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 2016, 22hb Julai telah digazetkan sebagai Hari Sarawak.

Di Sabah, keadaan agak berlainan dan menghadapi lebih banyak cabaran dan rintangan untuk menggazetkan 31hb Ogos sebagai Hari Sabah.

Walau bagaimanapun, menurut Tuan Jalumin, Sabah telah menyaksikan kesedaran serta kebangkitan semangat rakyat Sabah menuntut supaya Hari Sabah diisytiharkan secara rasmi.

Bermula dari tahun 2012, sehingga tahun lalu, 2020 para aktivist dari berbagai Persatuan dan Gabungan Politik bersama rakyat Sabah tidak pernah gagal memperingati Kemerdekaan Sabah pada 31hb Ogos.

Jalumin sendiri telah mempengerusikan penganjuran Hari Sabah pada tahun 2014 dan 2018.

Beliau menjelaskan secara ringkas bahawa negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, yang dikenali sebagai Tanah Melayu (Malaya) pada ketika itu telah mencapai kemerdekaan lebih awal iaitu pada 31 Ogos 1957.
6 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1963, Sarawak telah dimerdekakan pada 22 Julai dan Sabah pada 31 Ogos.

Jalumin menyatakan bahawa mengazetkan 31 Ogos 1963 sebagai Hari Sabah adalah wajar.

Beliau turut mencadangkan agar 31 Ogos 1957 juga diisytiharkan secara rasmi sebagai Hari Kemerdekaan Tanah Melayu di Semenanjung Malaysia.

Dengan itu, 16 September sebagai Hari Malaysia dapat disambut dan dirayakan di seluruh negara dengan lebih bermakna.

Beliau berharap agar pengazetan tarikh ini dapat memperbetulkan sejarah tanah air, sekaligus memperkasakan manifestasi pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini di Kuching bahawa Malaysia terdiri daripada 3 Wilayah ( Wilayah Semenanjung Malaysia, Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah).

Beliau yakin kerajaan akan menjadikan 3 Wilayah ini sebagai Wilayah sama-taraf selari dengan Semangat Asal penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau menyeru agar seluruh warga anak Sabah memberikan sokongan kepada YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan sehingga impian ini tercapai.