STARSABAH bersedia menghadapi PRU15 walaupun sekiranya diadakan esok – Guandee Kohoi

Disunting oleh : Belynda StarMedia

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 walaupun sekiranya diadakan esok.

Setiausaha Agung StarSabah, YB Datuk Guandee Kohoi mengatakan bahawa jentera Pilihanraya Parti yang beroperasi semasa pada pilihan raya negeri bulan September yang lalu, masih bersiap sedia.

“Jawatankuasa yang dibentuk di kawasan tersebut masih aktif. Tambahan pula kami telah membentuk Jawatankuasa Penyelaras Parlimen di kawasan yang ingin kami tandingi,” kata beliau kepada New Straits Times.

Guandee menyatakan hasrat parti untuk bertanding di sembilan (9) daripada 25 kawasan parlimen pada pilihanraya akan datang.

Salah satu daripadanya adalah kerusi Parlimen Keningau dimana penyandanya ialah president parti Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan. Kerusi Parlimen yang lain adalah Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Penampang, Ranau, Tenom, dan Pensiangan.

Beliau mengatakan bahawa kawasan itu dipilih berdasarkan kekuatan dan permintaan masyarakat akar umbi.

“Walau bagaimanapun kami juga mesti mempertimbangkan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Kami telah menyerahkan senarai parlimen yang ingin kami tandingi kepada kepimpinan pusat dan pada masa yang sama kami siap untuk bekerjasama dengan parti-parti lain yang berada dalam GRS,” katanya, sambil menambah parti itu akan gembira sekiranya diberikan 5 atau 6 dari kerusi yang diminta.

Guandee juga tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan atau pertukaran kerusi di antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Maju Sabah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PAS, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah.

Guandee menambah bahawa PN telah memberikan kepercayaan kepada STAR untuk menyelaras jentera pilihan raya di empat kawasan parlimen iaitu Putatan, Penampang, Keningau dan Pensiangan.

Katanya sebagai penyelaras, itu tidak semestinya bermaksud calon STAR akan bertanding di kawasan itu tetapi lebih kepada membantu calon yang mewakili GRS di kawasan tersebut.

Sementara itu, pada kejadian baru-baru ini mengenai isu perlakuan tidak senonoh dan penghinaan yang keterlaluan melibatkan ahli STAR, Guandee mengatakan ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi prestasi parti itu tetapi beliau yakin rakyat dapat membuat penilaian sendiri.

“STAR tidak pernah meminta anggotanya untuk melakukan kesalahan tersebut, terutama perkara yang melibatkan isu sensitif.

“Demikian juga dengan Marcel Jude, dia tidak pernah diambil atau dilantik sebagai peguam parti. Secara kebetulan sahaja beliau bekerja sebagai peguam,” katanya.

Setiausaha Agung juga menjelaskan bahawa Lembaga Disiplin parti akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ahlinya menurut Perlembagaan parti.