Kes hina Pertandingn UNK akan dibawa ke Mahkamah Anak Negeri Sabah

Marcel Jude Joseph akan di hadapkan ke Mahkamah Anak Negeri Sabah

Kota Kinabalu, 16hb Jun 2021 : Pemimpin-pemimpin suku masyarakat orang asal di Sabah telah bermesyuarat secara maya untuk menyelesaikan isu panas seorang peguam yang telah menghina sensitiviti pelbagai suku kaum orang asal baru – baru ini.

Mesyuarat maya tersebut telah dipengerusikan oleh DSP Dr Jeffrey G Kitingan sebagai Timbalan Presiden KDCA. Beliau mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin suku yang lain untuk mengambil tindakan seterusnya.

Dr Jeffrey yang juga merupakan Presiden Dayak International Organisation merasakan bahawa setiap perkara yang melibatkan sensitiviti adat, budaya dan tradisi orang asal harus diselesaikan dengan cara yang baik mengikut undang-undang adat yang ada.

Antara institusi suku kaum orang asal yang sempat hadir pada perbincangan itu ialah Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA), Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) dan Sabah Murut Association (SMA).

Turut hadir ialah Pengerusi UNK 2021, Tindarama Joanna Datuk Kitingan, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Tindarama Dr Benedict Topin dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Tuan Mackey Apison Lo.

Dalam mesyuarat itu, mereka bersetuju membawa perkara ini ke Mahkamah Anak Negeri ( MAN) untuk tindakan lanjut dan diselesaikan secara adat. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kemarahan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di seluruh Sabah. Peguam tersebut juga telah mengakui kesalahannya dan telah memohon maaf. Namun, perkara penghinaan terhadap Pertandingn Unduk Ngadau ini tidak akan selesai hanya dengan pernyataan maaf sahaja, peguam tersebut harus didenda mengikut adat.

Mereka juga meyuarakan kekesalan dan mahu memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi.

Dr Jeffrey yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah tidak menolak kemungkinan akan ada pihak dari masyarakat orang asal akan mengambil tindakan lanjut yang melibatkan saman sivil dan Akta Hasutan. Ini kerana, perbuatan Marcel Jude telah mengguris hati orang ramai.

Dalam sidang media maya yang diadakan selepas mesyuarat, beliau berharap agar tindakan ini menjadi pengajaran kepada semua agar lebih menghormati adat, budaya, tradisi dan agama yang berbilang dan berbeza di Sabah.