MARCEL JUDE BUKAN PEGUAM PARTI STAR DAN BUKAN KETUA BAHAGIAN TG. ARU – KOHOI

Marcell Jude Bukan Peguam STAR Dan Bukan Ketua Bahagian Tg Aru

KOTA KINABALU: STARSABAH telah menjelaskan bahawa peguam yang kini telah menjadi kontroversial, Marcel Jude, tidak pernah menjadi peguam rasmi untuk parti itu, dan dia juga bukan ketua bahagian Tanjung Aru.

“Parti STAR tidak pernah merasa perlu memiliki peguam rasmi kerana tidak pernah ada keperluan itu,” kata Setiausaha Agung STAR, Datuk Guandee Kohoi. “Sekiranya ada keperluan yang timbul, kami boleh mengupah mana-mana peguam yang layak di Kota Kinabalu pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, adalah tidak betul untuk memanggil Marcel Jude sebagai ‘peguam STAR’.

Berkenaan kedudukannya dalam parti, Kohoi berkata bahawa memang benar dia telah diterima menjadi ahli pada tahun 2017 sebagai Ketua Penaja dengan niat untuk membentuk bahagian Tanjung Aru.

“Tetapi dia terlalu sibuk untuk aktif dalam parti, dan dia tidak dapat membentuk bahagian kerana tidak dapat mengumpulkan pengikut.

Oleh itu, kami menyerahkan tugas itu kepada Richard Jayasuriya. Malangnya Richard juga gagal dalam percubaan menubuhkan STAR Bahagian Tg Aru,” tambahnya.

“Akhirnya, kami mempercayakan bahagian yang dicadangkan itu kepada Ambrose Obon.
Syukur, dengan usahanya, sebuah jawatankuasa penaja yang diketuainya sudah dibentuk dan berfungsi hingga hari ini.”

Kohoi, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya mengesali usaha berterusan beberapa pihak yang mengaitkan STAR dengan kes-kes yang melibatkan tuduhan jenayah terhadap Phillip Among dan hujah pembelaan menghina Unduk Ngadau oleh Marcel Jude.

“Jelas sekali terdapat usaha mensabotaj parti oleh pihak tertentu yang cemburu dengan kekuatan dan kedudukan STAR,” kata Kohoi.

“Tetapi kami yakin bahawa kedua-dua kes itu tidak akan mencemarkan parti kerana kedua-dua individu ini akan diambil tindakan tatatertib.”

Mengenai kedudukan masa depan Marcel Jude dalam STAR, Kohoi sebagai Setiausaha Agung, memberi jaminan bahawa Lembaga Disiplin parti akan segera bermesyuarat untuk memutuskan tindakan yang harus diambil sesuai dengan perlembagaan parti.