Marcel Jude Bukan Peguam Parti STAR

Yb Senator Datuk Guandee Kohoi, Setiausaha Agung Parti StarSabah

Kota Kinabalu, 12hb Jun 2021: Semenjak kebelakangan ini, Parti STARSABAH telah menjadi sasaran serangan dan bahan jenaka pihak-pihak lawan politik.

Perkara ini bermula daripada laporan polis seterusnya dakwaan di mahkamah ke atas seorang ahli parti yang sudahpun digantung jawatan serta merta.

Berikutan kejadian ini, ahli parti tersebut telah mengupah seorang peguam untuk membela beliau di mahkamah.

Secara kebetulan, peguam berkenaan adalah seorang ahli StarSabah.

Perkara ini telah mengakibatkan tular di media sosial menggelar peguam berkenaan sebagai “Peguam STAR”. Ini adalah salah.

Marcell Jude Bukan Peguam Parti STAR

Setakat ini, Parti Solidariti Tanah Airku tidak pernah melantik peguam untuk mewakili parti. Hal ini demikian kerana belum ada keperluan.
Pada masa akan datang, sekiranya Parti memerlukan khidmat seorang peguam maka barulah Parti akan melantik untuk mengendalikan kes undang-undang sekiranya perlu.

Bercakap tentang Tetuan Marcell Jude, iaitu peguam yang diupah oleh Phillip Among, beliau hanyalah seorang ahli Star. Marcell Jude telah menyertai Parti pada 26hb Mei 2017 yang lalu namun tidak pernah bergiat aktif.

StarSabah meminta agar pihak-pihak tidak bertanggungjawab menghentikan sebaran palsu mengatakan Marcell Jude adalah Peguam Star kerana ini adalah tidak benar sama sekali.

Parti StarSabah juga ingin menasihati Marcell Jude agar tidak mencampur adukkan keahlian beliau dalam STAR dan tanggungjawab beliau terhadap pekerjaannya.

Kita minta agar beliau menjelaskan bahawa kenyataan atau hujah-hujah pembelaan beliau adalah atas landasan sebagai Peguam yang diupah dan tidak ada kena mengena sebagai ahli sebuah parti.

Dari pihak StarSabah, Lembaga Disiplin sedang mempertimbangkan untuk melucutkan keahlian beliau berdasarkan Perlembagaan Parti. Ini kerana, Parti telah menerima aduan serta saranan dan cadangan daripada pelbagai pihak agar “membuang” ahli Parti yang membawa cemar kepada nama baik.

Sehingga perkara ini selesai, Parti STARSABAH meminta agar ahli-ahli terus memberikan sokongan positif kepada pucuk pimpinan Parti.

Yb Senator Datuk Guandee Kohoi
Setiausaha Agung STARSABAH
12hb Jun 2021