Parti Solidariti Tanah Airku Bahagian N39 Tambunan Berjaya Menjalankan Persidangan dan Pemilihan Bahagian

  • 17/05/2021
  • Misc
Yb DSP Dr Jeffrey G Kitingan merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Bahagian Tambunan

16.05.2021
Parti Solidariti Tanah Airku Bahagian N39 Tambunan Berjaya Menjalankan Persidangan dan Pemilihan Bahagian.

Persidangan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Bahagian N39 Tambunan berakhir dengan beberapa kepimpinan baru dipilih. Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Dewan Undangan Negeri N39 Tambunan dan Ahli Parlimen P180 Keningau berkenan merasmikan upacara majlis tersebut, Yang Berhormat Datuk Guandee Kohoi, Setiausaha Agung STAR Sabah, Yang Berbahagia Tuan Jalumin Bayogoh Timbalan Presiden STAR Sabah serta Timbalan Setiausaha Agung Tuan Ardino Diris juga turut hadir.

Dalam ucapan dasar dan intipati Presiden parti, beliau menyarankan agar kepimpinan baru dalam Bahagian akan terus memberi khidmat cemerlang kepada rakyat. “Usah tunggu ditegur atau dikritik oleh rakyat baru mula bertindak” katanya.

Dalam ucapan beliau, Yang Berhormat datuk Seri juga akan terus melestarikan pembangunan sosio-ekonomi daerah Tambunan melalui pelbagai program khususnya dalam bidang pertanian. Keadaan Pandemik Covid 19 yang belum redah tidak akan menghalang urusan dan program pembangunan untuk diteruskan. Sektor pelancongan juga akan terus diberi perhatian khusus. Sehingga kini pelbagai program atau perancangan telah dilakukan termasuklah pembangunan Eko-Pelancongan disetiap mukim dan kampung. Sebagai wakil rakyat yang dipilih dikawasannya, beliau akan terus menabur komitmen dalam program pembangunan infrastruktur daerah Tambunan dimana jalan berturap di semua kampung akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang yakni tempoh penggal kerajaan GRS. Beliau juga menyeru supaya semua JPKK yang diberi tanggungjawab agar terus membantu apa saja program pembangunan dan terus menyokong kerajaan memerintah demi kesinambungan pembangunan diperingkat kampung.

Menyentuh tentang perjuangan parti STAR Sabah, beliau mengingatkan sekali lagi bahawa beliau tidak pernah pinggirkan asas perjuangan STAR Sabah lebih-lebih lagi apabila sudah berada dalam tampuk kerajaan. Salah satu elemen penting adalah hak Sabah keatas kewangan dan tanah Sabah. Cukai jualan produk petroleum sebanyak 5% yang bersamaan dengan RM1.2 Bilion Berjaya dikutip. Harga minyak dunia terkini menunjukkan trend peningkatan dari segi jualannya. Adalah dijangkakan untuk tahun ini hasil pungutan daripada cukai 5% ini akan naik sekali ganda. Dengan tambahan dan hasil ini maka banyaklah pembangunan untuk rakyat Sabah dapat dijalankan. Selain itu kerajaan GRS juga akan terus berusaha untuk menuntut cukai eksport petroleum sebanyak 10%.

Usaha untuk mendapatkan hak-hak dalam perikanan dan tanah juga sedang giat diusahakan. Hak Sabah tentang Tanah dan Laut amat penting kerana kedua-dua elemen ini merupakan penyumbang utama kepada hasil-hasil Sabah yang telah terhakis sekian lama. Dalam pembangunan bidang pelancongan Sabah, kerajaan GRS akan sentiasa berkerjasama penuh dengan kerajaan persekutuan dalam memajukan sektor pelancongan Sabah. Sektor pelancongan adalah hak bersama kerajaan negeri dan persekutuan. Usaha membangunkan semula sektor pelancongan dalam masa yang sama dengan keadaan Pandemik Covid 19 yang belum redah bukan sesuatu yang mudah unruk dilakukan. Kerjasama dan sumbangan dari semua pihak amat dihargai.

Slogan ‘Sabah Maju Jaya’ adalah hala tuju kerajaan GRS. Banyak perancangan dan usaha akan dilakukan untuk melaksanakan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri. Perancangan dan pengurusan yang lebih menjurus kepada pembangunan secara keseluruhan adalah agenda utama kerajaan GRS dan akan diberi penekanan penting.

Dalam persidangan Mesyuarat Agung tersebut, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian. Seorang lagi muka baru dalam barisan Bahagian Dr James Liew menang tanpa bertanding untuk Naib Ketua Bahagian Kuota Cina. Tuan Alexius Kiob pula menang dalam pemilihan sebagai Timbalan Ketua Bahagian. Naib Ketua Bahagian Kuota Bumiputera Bukan Islam dimenangi oleh Dato Peter Kuling manakala Naib Ketua Bahagian untuk Kuota Islam dimenangi oleh Tuan Soohutdin @ Saudin Pg Ahmat. Sebanyak tujuh Ahli Jawatan Kuasa biasa juga mendapat kemenangan melalui pemilihan. Selamat menjalankan tanggungjawab dan tugasan masing-masing.

TAMAT.
Y. Terence