Parti STAR Dan Rakyat di P180 Keningau Berpisah Tiada.

  • 26/04/2021
  • Misc
Stepfine Lazarus

Salam Solidariti dan Salam Sabah Maju Jaya kepada seluruh warga P180 Keningau.
Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan dan pendapat tentang kenyataan Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkenaan kenyataannya beliau dalam persidangan atau kongres PBS N39 Tambunan yang diadakan baru-baru ini.

Umum tahu dan sedar akan kewujudan PBS di daerah Tambunan telah bermula sejak tahun 1980an lagi. Pada masa tersebut kesatuan Orang Asal sangat kuat iaitu mesti Bersatu agar anak bangsa Sabah tidak terus ditindas selamanya. Usaha menuntut hak-hak Sabah terus dilaungkan walau ini sangat tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri pada masa itu. Trend perubahan politik saban penggal kerap berubah maka PBS untuk kekal relevan pada masa itu mereka tidak ada pilihan selain menyertai rakan-rakan lain yang mendokong perjuangan parti daripada Semenanjung Malaysia. Kepopulariti PBS saban penggal semakin menurun sehingga ada menganggap PBS itu parti untuk veteran. Ini terbukti pada PRN 2020 lepas dimana banyak kerusi yang dituntut oleh PBS telah kalah teruk dan hilang deposit pertaruhan. Kepopularitian dan pengaruh sesebuah parti itu tidak dinafikan terletak pada Presiden parti itu sendiri. Walaupun Huguan Siou Tan Sri Pairin Kitingan telah bersara daripada arena politik, beliau masih sangat dihormati dan terus disebut sebagai seorang pejuang untuk rakyat asal dan bangsa Sabah. Sejarah telah terpahat untuk rakyat Sabah.

Selang beberapa dekad dan terkini Datuk Seri Panglima Dr Maksimus Ongkili masih memegang tampuk Pengerusi atau Presiden PBS, banyak perubahan telah berlaku. Sebagai rakyat asal daerah Tambunan, saya sentiasa mengikuti perkembangan perjuangan parti-parti tempatan yang tumbuh bak cendawan di Sabah.

Salah satu parti yang saya anggap cukup konsistan dengan perjuangan adalah parti STAR Sabah yang diterajui oleh Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan. Perjuangan lebih daripada 30 tahun beliau tidak sedikit pun melunturkan semangatnya semata-mata ingin melihat rakyat Sabah mendapat kembali hak-hak Sabah yang telah terhakis sedikit demi sedikit. Perit, manis, hinaan, makian dan ejekan sebagai parti pembangkang masa itu ditepis dengan terus bercakap tentang perjuangan rakyat sehinggalah rakyat kini ramai yang sedar akan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Parti STAR adalah milik rakyat Sabah dan wujudnya STAR adalah kerana perjuangan rakyat itu sendiri.

Penyatuan parti-parti tempatan adalah sangat perlu demi mewujudkan satu kekuatan yang dominan. Walaupun timbul pelbagai halangan, atas asas kompromi dan persefahaman dari pelbagai parti tempatan, maka lahirlah Gabungan Rakyat Sabah atau GRS. Pada awalnya asas penubuhan GRS terdiri daripada STAR, SAPP, PPBM, PBS dan BN Sabah. Terkini terdapat beberapa lagi parti tempatan Sabah telah menyokong dan terus menyertai kesepakatan GRS. Ini satu petanda yang amat baik dan positif kearah kekuatan dominan di Sabah.

Atas semangat setiakawan dan semangat dalam GRS itu sendiri, sepakatan dikalangan ahli kompenen dalam GRS mesti dipelihara dan terus berdiri teguh demi satu matlamat. Amat dangkal apabila PBS menyatakan untuk menuntut semula kerusi tradisi P180 Keningau yang pernah dimenanginya suatu masa dulu. Adakah PBS di P180 tidak berpijak dibumi nyata? Atau mungkin kita boleh buat anggapan bahawa mereka lebih menuju kepada kesempatan sekiranya bernasib baik? Kenyataan Presiden PBS ini seolah-olah cuba memecah belahkan sokongan padu daripada rakyat kepada STAR dan sudah semestinya untuk kemenangan GRS dalam setiap pilihanraya. 36 tahun PBS wujud sehingga sekarang, rakyat telah bersama melaluinya. Turun naik sesebuah parti itu kunci utamanya adalah sokongan rakyat itu sendiri.

Terus terang saya ingin nyatakan disini, untuk N39 Tambunan kepopularitian PBS semakin tenggelam dan terus terbenam. Fakta tidak akan menipu apabila pada PRN 2020 lalu, PBS hanya mendapat 439 undi dan hilang deposit pertaruhan. Sebanyak 8’691 undi telah diperolehi oleh DSP Dr Jeffrey Kitingan masa itu. Dimanakah logiknya apabila seseorang itu ingin menuntut kerusi N39 Tambunan? Untuk perkongsian bersama, parti STAR telah memenangi ketiga-tiga DUN dalam P180 Keningau. N40 Bingkor, STAR telah menang cemerlang dengan mendapat undi sebanyak 7’891, N41 Liawan pula sebanyak 4’628 undi.

Disini saya ingin mengajak kepimpinan PBS supaya terus berkerja keras untuk memenangi rakyat agar terus menyokong kerajaan GRS dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Rakyat kini telah bijak dan pintar menilai. Dahulukan rakyat lebih daripada parti. Parti itu hanya sebagai platform untuk rakyat menyatakan sokongan dan wakil kepada mereka. Kerjasama dan persefahaman dalam GRS amat penting sebab itu akan memperlihatkan persepsi rakyat akan keberkesanan kerajaan GRS. Sekian.

Salam Kaamatan, Salam Pibabasan dan Salam Sabah Maju Jaya.

Pemimpin Akar Umbi parti STAR Sabah.
Stefine Lazarus