PENYERTAAN STARSABAH SEMAKIN RANCAK!

AHLI MAJLIS TERTINGGI PBS SERTAI STARSABAH DAN KETUAI BAHAGIAN KARAMBUNAI

Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) Kapitan Stephen Teo mengumumkan keluar parti tersebut dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) pimpinan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Tuan Stephen yang juga merupakan mantan Bendahari Bahagian PBS Karambunai berkata beliau beserta beberapa rakan dari bahagian itu memutuskan untuk menyertai STAR setelah mengambil kira keadaan ahli-ahli parti berkenaan di bahagian itu yang tidak terjaga.

Stephen dengan harapan menyertai STAR bagi meneruskan usaha membantu ahli-ahli di Karambunai yang selama ini pernah bersama kami dalam PBS.

Stephen yang juga merupakan Kapitan Cina Kota Kinabalu sejak daripada pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyatakan demikian ketika bersama rakan-rakan menemui Dr Jeffrey di Ibu Pejabat STAR Sokid Villa di sini untuk menyerahkan borang keahlian ke dalam STAR.

Tuan Stephen turut menerima watikah pelantikan dari Dr Jeffrey sebagai Ketua Bahagian Penaja STAR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.

Turut bersama dalam penyerahan borang keahlian STAR ialah mantan Naib Ketua Bahagian PBS Karambunai, Ponsius Solipat, mantan Setiausaha Bahagian PBS Karambunai WKAN Charles Arab dan mantan Ahli Jawatankuasa Bahagian John Kaltus Jintuil.

Dalam pertemuan itu, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey meminta kepimpinan baharu STAR di Karambunai agar menjejaki penduduk kampung-kampung yang selama ini bernaung di bawah kepimpinan mereka untuk melihat keadaan dan memastikan mereka tidak terpinggir dalam memperoleh bantuan kerajaan.

Hadir bersama dalam pertemuan itu ialah Tuan Kenny Chua, Ketua Penyelaras Parlimen Sepanggar STAR merangkap Pengerusi Sabah Air Aviation dan Tuan Edward Linggu, Pengarah Strategik Parti STAR merangkap Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).