GRS di bawah kepimpinan KM Datuk Seri Hj Hajiji Noor prihatin kepada kesejahteraan semua kaum dan agama – Datuk Guandee

Laporan : Pemberita StarMedia

Kota Kinabalu, 23 Mac 2021 : Selasa. Pagi tadi Senator Datuk Guan Dee Bin Ko Hoi, Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SEDCOVEST) merangkap Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mewakili Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk menyempurnakan majilis penyerahan cek bernilai RM50,000/-.

Majlis sederhana itu diadakan di dewan Gereja Seventh-Day Adventist Likas di Jalan Tuaran dan disaksikan oleh komuniti umat gereja tersebut.

Dalam ucapan ringkas beliau, Senator Datuk Guan Dee menyatakan yang sumbangan ini merupakan bantuan kilat dari Dr Jeffrey,

“Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey sangat prihatin kepada keperluan umat gereja ini. Maka bila beliau menerima rayuan permohonan bantuan pembaikan gereja ini khususnya untuk pembaikan ‘roofing’ gereja, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politik Pn Arlinsia untuk mencari jalan penyelesaian segera.

“Bantuan ini sebenarnya datang dari peruntukan Parlimen beliau tetapi beliau faham perkara ini sebaiknya tidak dilengahkan memandangkan permasalahan ini melibatkan ‘roofing’ gereja.”

Senator Datuk Guan Dee juga menyatakan keyakinan beliau yang bantuan susulan akan datang daripada Kerajaan Negeri memandangkan beliau dan Dr Jeffrey telah berjumpa dengan Ketua Menter, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Noor sekitar dua minggu yang lalu dan antara perkara yang dibawa ke perhatian Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan ialah hal ehwal gereja-gereja di Sabah.

“Saya ada mengutarakan permasalahan gereja-gereja di beberapa kawasan, khususnya gereja ini kepada Ketua Menteri dan beliau telah memberi keyakinan yang beliau akan memberi perhatian yang sewajarnya.” tambah beliau.

Sumbangan cek telah diserahkan oleh Setiausaha Politik Pn Arlinsia Binti Agang kepada Pastor Rison Sodundu disaksikan oleh Senator Datuk Guan Dee, Pengerusi Lembaga Gereja En Patrick Sanda dan komuniti umat gereja tersebut.

Pastor Rison juga memberi cendermata tanda penghargaan pihak pengurusan gereja tersebut kepada Pn Arlinsia.

Turut menyertai majlis sederhana itu ialah Timbalan Setiausaha Agung STAR Tuan Ardino Diris.