26 bulan memerintah tapi senyap mengenai pemberian tanah kepada Persekutuan?

Kolumnis : Justin Sunam-Wong

Isu yang kini diputarbelitkan oleh pemimpin pembangkang mengenai penyerahan hak milik tanah kepada kerajaan pusat seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini amat membingungkan.

Mengapa saya merasa ia membingungkan?

Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Tanah dan Ukur Bernard Liew Chau Min, tanah-tanah ini adalah untuk tujuan persekutuan yang diperoleh melalui proses Pengambilan Tanah dan telah diluluskan sebelum tahun 2016 dan premium telah dibayar sepenuhnya ketika itu.

Ini dilakukan sebelum kerajaan gabungan Warisan, Upko dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada tahun 2018.

Bagaimana mereka tidak mengetahui perkara ini semasa berkuasa? Dan jika mereka tahu, mengapa mereka tidak berbuat apa-apa? Semasa berkuasa mereka boleh menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan pemindahan tersebut. Mereka boleh berunding dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membalikkan atau membatalkan “kesalahan” pentadbiran sebelumnya.

Tetapi mereka tidak berbuat demikian dan hanya bising bila sudah jadi pembangkang.

Atau mungkin mereka tahu yang tiada lagi yang boleh dipolitikkan isu itu memandangkan pentadbiran sebelum mereka sudah pun mengatasi isu itu dengan perubahan polisi mengenai penggunaan tanah di Sabah oleh kerajaan Persekutuan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengarah, premium dan cukai untuk geran-geran yang dipersoalkan telah dibayar dengan sewajarnya. Pentadbiran BN masa itu terikat dalam perjanjian sebelumnya untuk menunaikan segala terma dalam perjanjian sebelumnya.

Walau bagaimanapun, selepas itu kerajaan BN Sabah telah memberhentikan pengeluaran geran tanah untuk kegunaan Persekutuan dan sebaliknya hanya mengeluarkan Warta (Gazette) untuk penggunaan tanah oleh kerajaan Persekutuan di Sabah. Dengan demikian memastikan tanah yang “dipinjamkan” ini tetap berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan rakyat Sabah.

Kerajaan Persekutuan tidak memiliki tanah yang diperolehi melalui Warta (Gazette). Tanah tersebut hanya “dipinjamkan” untuk kegunaan kerajaan Perseketuan bagi aktiviti agensi Perseketuan memberi perkhidmatan asas kepada rakyat Sabah. Selaras dengan tanggungjawap mereka dalam Persekutuan. Tanah tersebut akan kembali kepada kerajaan negeri bila tidak diperlukan lagi oleh kerajaan Persekutuan atau bila rakyat tidak lagi memerlukan perkhidmatan agensi itu.

Balik kepada isu geran tanah yang dipersoalkan, tanah-tanah tersebut sudah didirikan bangunan-bangunan seperti sekolah, klinik dan pelbagai perkhidmatan yang sudah melayani rakyat. Apakah pembangkang mahu perkhidmatan sedia ada ini ditarik balik dan menghalang akses rakyat khususnya kanak-kanak kita kepada perkhidmatan asas ini untuk kelangsungan politik mereka?

Tempoh hakmilik tanah yang diberi oleh geran-geran ini  adalah  hanya untuk 99 tahun sahaja, ia bukan untuk selamanya. Lagipun bukan saja kita memperoleh pemilik tanah yang membayar cukai dan premium tetapi mereka juga membawa kemudahan perkhidmatan awam bermanfaat untuk rakyat. Penyelenggaraan dan bayaran gaji kakitangan semua ditanggung oleh kerajaan Perseketuan. Adakah itu merugikan kita?

Pembangkang harus hentikan politik tidak bertanggungjawab dan tidak produktif kepada rakyat. Sudah waktunya untuk mereka menjadi pembangkang yang berkualiti dan hanya membangkitkan isu-isu yang relevan untuk bertindak sebagai penyeimbang kepada pemerintah.