Dr Jeffrey mengutamakan pentadbiran untuk kebaikan rakyat jelata daripada berpolitik

Kolumnis : Justin Sunam-Wong

Berita pengambilalihan pengurusan Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP) oleh Kementerian  dan Perikanan Sabah dibawah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G, Kitingan adalah suatu berita yang baik dan dialu-alukan.

SAIP yang disifatkan sebagai tidak menguntungkan dan gagal setakat ini dalam peranannya sebagai pemacu pengembangan industri asas tani di Sabah untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada pengimportan makanan dari luar negara.

Kerjasama antara kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah dengan agensi Kementerian yang berkenaan seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Sabah dan Institut Kajian Sabah, gabungan usaha bersama ini sudah tentu akan lebih mantap dan memberi manfaat kepada negeri khususnya rakyat jelata biasa seperti petani dan pekebun.

Ini yang dinanti-nantikan oleh rakyat kebanyakan yang sudah bosan dengan retorik politik yang dimainkan oleh pihak pembangkang. Mereka mahukan perancangan konkrit yang yang mengutamakan isu ‘periuk nasi’ dan Dr Jeffrey jelas lebih peka dan sedar kepada aspirasi dan kebimbangan rakyat dikala pandemik Covid19 yang telah menganggu aktiviti ekonomi.

Ada tomahan yang Dr Jeffrey sudah bisu tentang kebajikan rakyat sedangkan beliau sebenarnya sibuk merancang langkah dan polisi terbaik memulihkan ekonomi kita yang mengutamakan pembabitan rakyat biasa dalam aktiviti ekonomi kita. Salah satu perancangan itu ialah pengrekalibrasi SAIP.

Peningkatan R&D (penyelidikan dan pembangunan) yang disarankan oleh Dr Jeffrey sudah tentu bakal mencetuskan proses pertanian yang inovasi yang bakal meningkatkan produktiviti industri pertanian negeri kita dan inovasi ini akan diperkenalkan kepada penggiat aktiviti pertanian kita.

R&D dalam pemprosesan dan pengilangan hasil pertanian kita juga akan meningkatkan pulangan aktiviti pertanian kita. Dimana produk kita akan bertambah nilai (value add) melalui industri hilir (downstream) yang akan wujud daripada proses penukaran bahan mentah ke produk akhir. Ini akan melahirkan usahawan-usahawan pertanian dan justeru juga mewujudkan peluang pekerjaan. 

Agensi-agensi berkenaan dari pelbagai kementerian perlu bekerjasama antara untuk membolehkan perkara ini menjadi kenyataan. Tidak mustahil produk kita boleh menembusi pasaran luar negara jika polisi kerajaan dikalibrasi menjurus kepada pembolehan dan pemerkasaan industri itu. Polisi kerajaan harus menjadi pemangkin dan bukannya penghalang kepada petani dan usahawan pertanian kita.

Jika ini menjadi kenyataan, slogan ‘Pertanian itu Perniagaan’ sudah tentu akan menjadi kenyataan kepada petani dan usahawan pertanian di negeri kita. Kita menaruh harapan kepada kepimpinan prihatin Dr Jeffrey untuk mengkoordinasikan kerjasama antara kementerian.

Dengan infrastruktur fizikal dan bukan fizikal ini, belia-beliawanis kita akan berkecimbung dalam sektor ini dan bakal menukarkan persepsi mereka terhadap pertanian secara amnya. Bukan saja ini akan memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan dari sektor ini, malah ia akan menyelesaikan masalah ‘food security’ negeri kita.

Pada pendapat saya, ini satu cara yang terbaik untuk melibatkan rakyat biasa dalam aktiviti ekonomi kita. Manfaat terus kepada rakyat yang ingin berdikari dan hanya menunggu peluang.

Kita menunggu lebih banyak program dari Dr Jeffrey yang memberi tumpuan kepada rakyat jelata.

*Ini adalan pendapat peribadi penulis.