Daulat TuanKu, kami rakyat akur dengan titah TuanKu

Kolumnis : WSJ, Kawadan Klias

Pagi PKP hari kedua ini kita dikejutkan dengan seruan seorang aspiran jawatan Perdana Menteri Malaysia yang membatu api Ahli-Ahli Parlimen kita untuk menyeru DYMM Agong kita untuk membatalkan darurat. Antara alasan yang diberi adalah perintah darurat ini bermotifkan politik.

Retorik politik mereka tidak membawa apa-apa erti kepada rakyat biasa yang kini sibuk mengharungi pandemik Covid19 ini. Ada juga segilintir ‘akademis’ yang cuba mengguna ‘emotional blackmail’ atau peras ugut emosi dengan menyeru rakyat-rakyat ‘berakal’ untuk bangkit membantah perintah darurat dengan alasan konon ia melanggar Perlembagaan.

Kita ada berita buruk untuk mereka ini. Yang tidak berakal dalam situasi ini adalah kamu!

Rata-rata rakyat biasa faham dan menerima baik keputusan pengisytiharan darurat ini oleh DYMM Agong adalah untuk menangani pandemik Covid19 ini. Yang masih keliru dan cuba mengelirukan rakyat adalah elitist politik yang langsung tidak memikirkan nasib rakyat biasa.

Bak kata orang putih, “Missing the forest for the trees”. Maksudnya mereka terlalu sibuk dengan perkara-perkara kecil sehingga tidak nampak gambaran besar. Yakni keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan rakyat jelata kini hanya mahu pemimpin-pemimpin kita bersepadu dan mengfokuskan tenaga kepada pengurusan pandemik.

Jangan silap! Kami tahu dan akur ini semua satu caturan politik. Salahkah Perdana Menteri kita membuat pengcaturan politiknya sendiri untuk mempertahankan diri dari serangan politik pihak lawan yang tidak terhenti-henti sejak pandemik ini bermula?

Kamu buat boleh, dia buat salah pula?

Kita memperingatkan mereka yang keras kepala ini yang Baginda Agong telah beberapa kali bertitah supaya semua mainan politik dihentikan sementara kita mengurus pandemik ini tetapi masih diingkar.

Baginda pernah menolak cadangan darurat dari Perdana Menteri sebelum ini tapi kali ini Baginda berkenan.

Sudah nyata Baginda tidak membuat keputusan ini sewenang-wenangnya. Kita bersyukur yang Baginda tidak menunggu ke 19 kali baru berkenan. Daulat Tuanku!

Kita juga ingin merakamkan syabas dan taniah kepada Perdana Menteri dan TuanKu kerana berani mengambil tindakan tidak popular tapi baik dan patut untuk rakyat jelata.

Langkah ini patut untuk pihak berkenaan mengfokuskan tenaga mengurus pandemik ini dengan jentera dan sumber kerajaan yang diperuntukkan dengan pengisytiharan darurat dan sekali gus membebaskan diri mereka dari gangguan politik lawan yang tidak membawa apa-apa faedah untuk rakyat jelata.

Untuk yang termakan dengan hasutan mereka, kita bagi pesanan ini.

Kes jangkitan pandemik Covid19 meningkat setiap hari tapi pihak pembangkang asyik mahu merampas kuasa tanpa peduli keselamatan rakyat, adakah anda rasa kumpulan mereka ini sesuai jadi kerajaan…?

Daulat TuanKu!