Kerajaan GRS serius melaksanakan manifesto Aku Janji – Rizal Johari

Rizal Johari, Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku

KOTA KINABALU: Sayap pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengucapkan tahniah kepada empat ahlinya, termasuk presiden parti, atas pelantikan mereka ke dalam jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, ketua wiramuda STAR Rizal Johari mengatakan bahawa barisan inklusif ini menunjukkan bahawa kerajaan sekarang serius untuk memenuhi manifesto pilihan raya ‘Aku Janji’.

“Saya senang dan gembira melihat perkembangan ini kerana ianya menunjukkan bahawa Kerajaan GRS tidak terpengaruh oleh kemelut politik di Tanah Melayu.

“Sayap pemuda STAR optimis berita ini akan menghentikan tanggapan bahawa GRS berada di landasan yang goyah,” katanya.

Empat anggota STAR iaitu presiden parti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, timbalan presiden Datuk Ellron Angin, setiausaha agung Datuk Guandee Kohoi dan penolong setiausaha agung Ardino Diris dinamakan dalam jawatankuasa GRS yang dianggotai oleh 27 ahli hari ini.

Sementara itu, Rizal menggesa semua pihak untuk menyambut baik dan menyokong penuh gencatan-politik yang mungkin akan di laksanakan oleh pihak berkuasa demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam mendepani wabak Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

“GRS mempunyai mandat daripada rakyat untuk menjadi pemerintah negeri ini. Pihak pembangkang harus menghormati mandat itu. Pilihan raya negeri sudah berakhir dan inilah masanya untuk berkhidmat sepenuhnya.

“Kerajaan negeri yang dipimpin oleh GRS mempunyai kurang daripada lima tahun sahaja untuk membuktikan yang gabungan ini mampu untuk membangunkan negeri Sabah jauh lebih baik dari sebelumnya.

“Mereka mesti diberi kesempatan untuk melaksanakan aspirasi rakyat. Susunan kabinet sekarang dipilih dari gabungan pemimpin yang berpengalaman, bijaksana dan mempunyai citarasa politik yang segar. Sayap pemuda STAR yakin bahawa gabungan GRS ini akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan, katanya.”