Oleh : Justin Sunam-Wong, StarMedia
Tulid, Sabtu 9 Januari 2021 : Pagi ini pihak Telekom Malaysia (TM) telah mula memasang tiang bagi talian darat fiber di Kg Bomboi, DUN Tulid. Kerja penanaman tiang talian darat TM disaksikan oleh ADUN Tulid YB Flovia Ng.

Talian darat fiber akan membolehkan penduduk di sekitar kampung itu untuk melanggan perkhidmatan internet Unifi oleh TM.
Ini adalah hasil kerjasama dan perbincangan antara pihak pengurusan TM dan YB Flovia Ng dalam menangani permasalahan kesukaran mendapat liputan internet di Kawasan-kawasan Tulid.
“Kg Bomboi adalah Kawasan pertama di DUN Tulid mendapat perkhidmatan ini tapi saya berharap Kg Bomboi adalah titik permulaan untuk TM melebarkan perkhidmatan ini di kawasan Tulid.
“Dengan adanya perkhidmatan ini, pembelajaran atas talian untuk kanak-kanak kita khususnya akan dipermudahkan.”
YB Flovia berkata talian darat fiber hanyalah salah satu penyelesaian permasalahan liputan internet di Kawasan Tulid tetapi beliau merakamkan terima kasih kepada pihak pengurusan TM kerana prihatin melabur dalam pemasangan infrastruktur tersebut walaupun pulangan pelaburan pada jangka masa pendek tidaklah menarik memandangkan kepadatan penduduk disitu tidak sepadat di Kawasan bandar.
“Tapi saya percaya dengan adanya perkhidmatan ini, ia akan menjadi salah satu pemangkin untuk perkembangan ekonomi dan pertumbuhan industri di Kawasan Tulid. Justeru itu, saya menggesa syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain untuk mengambil contoh dari TM.
“Saya juga percaya adalah tanggungjawab social korporat mereka untuk memberi atau memperbaiki perkhidmatan ini ke Kawasan Tulid supaya generasi baru kita boleh bersama melangkah ke dalam era digital seperti rakyat dunia yang lain, khususnya Malaysia dan menikmati kemudahan dan akses kepada ilmu pengetahuan yang tidak bersempadan pada masa ini.”
Beliau percaya dengan inisiatif JENDELA yang telah dilancar oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ini akan menjadi realiti di masa terdekat dan akan diperluaskan ke seluruh Sabah bagi meningkatkan lagi jaluran capaian internet.