Kolumnis : WSJ, Kawadan Klias
Kota Kinabalu, 7 Januari 2021 – Kenyataan bekas Adun Moyog Terrence Siambun hari ini membantah pembinaan Empangan Kaiduan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin baru-baru ini hanya sekadar retorik politik kosong yang bertujuan memperbodohkan rakyat setempat dan untuk meraih sokongan popular yang parti beliau sendiri telah membelakanginya dahulu.
Kita juga bersimpati dengan dilema penduduk Ulu Papar tetapi dalam hal ini kita merasa terdorong untuk mendedah hipokrasi Terrence dan Warisan. Seperti dahulu, Terrence and partinya sekali lagi hanya mengeksploitasi dengan ‘mengkuda’kan isu popular ini untuk kelangsungan politik mereka yang semakin hari hilang relevansi.
Kita mengakui kecerdikan politik mereka. Mereka tahu isu popular mana yang patut di perkudakan. Isu popular mana yang mereka harus menyelinap untuk ‘hijack’ atau merampas tunggak pimpinan sesuatu perjuangan. Dan selepas mereka berjaya meraih sokongan di kotak undian, apa yang mereka buat?
Mereka hanya menukar nama empangan tersebut dan melemparkannya ke jiran mereka iaitu daerah Papar dan sekaligus janji pilihanraya mereka terkabul hanya di atas kertas.
Walaupun ada bantahan oleh Pasukan Petugas menentang Empangan Kaiduan (Takad) di mana Empangan Kaiduan yang baru dijenamakan semula kepada Empangan Papar masih akan menjejas komuniti mereka kerana Empangan baru masih akan memusnahkan sungai yang sama.
Kerajaan Warisan UPKO PH tidak menghiraukan semua bantahan yang dibuat terhadap Empangan Papar.
Keriakan pemerintah Warisan yang baru untuk “memecut” mula projek baru mereka menunjukkan bahawa kebimbangan yang ditimbulkan oleh pentadbiran sebelumnya adalah nyata dan benar. Jika tidak, kenapakah mereka pantas menyetujui projek baru jika bukan kerana ‘kekurangan’ bekalan air seperti yang diramalkan oleh pentadbiran sebelumnya adalah benar dan akan berlaku dalam masa terdekat.
Pendek kata, kebimbangan alam sekitar jauh dari pertimbangan Warisan dalam hal ini. Terrence dan kumpulan opportunis beliau patut bersara, rakyat sudah faham dengan sandiwara mereka.
Cukup sudah, orang-orang Penampang sudah bosan digunakan sebagai bahan politik mereka.