SELEPAS PANDEMIK COVID-19, TIBALAH ASPIRASI POSITIF DAN ERA DIGITAL

DSP Dr Jeffrey G Kitingan

Saudara dan saudari sekalian,

Akhirnya, kita berada di tahun yang baru 2021. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tahun 2020 ternyata amat pahit buat kita. Pandemik COVID-19 hampir melumpuhkan dunia. Tiada seorang pun di dunia ini yang tidak terkesan oleh tragedi Corona Virus.

Sesungguhnya, tahun 2020 akan kekal dalam ingatan kita sebagai tahun di mana ekonomi dunia lumpuh, ramai kehilangan nyawa, dan corak kehidupan kita telah berubah dari segi sosial dan ekonomi.

Tidak perlu saya ingatkan tentang tragedi di mana sesetengah kita kehilangan pekerjaan dan terpaksa berhempas pulas mencari jalan demi sesuap nasi untuk keluarga. Negara kita terpaksa melakukan perintah kawalan pergerakan secara terus menerus dalam usaha membendung “Coronavirus” yang semakin meningkat ke tahap yang amat membimbangkan.

Malaysia, khususnya di Sabah, turut menderita akibat ancaman pandemik yang merbahaya ini. Seluruh dunia terpaksa melaksanakan sekatan, menutup sempadan, memberhentikan khidmat penerbangan, dan rakyat terpaksa menjalani kehidupan seharian mengikut norma-norma baharu berdasarkan SOP yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjadi badan kerajaan yang amat penting dalam mengurus dan memastikan rakyat mematuhi SOP serta hal-hal keselamatan yang lain.

Walaupun semua ini dilihat agak rumit, rakyat tetap bekerjasama dan bersatu hati. Banyak kebaikan dan kerja amal yang telah dilakukan bersama tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada saat kita berada di tahap yang kritikal, kita telah bekerjasama dan ini menunjukkan bahawa kita kuat.

Saya berharap pada tahun baru ini, kita dapat menyesuaikan diri dengan norma baru, sosio-ekonomi baru, dan susunan politik yang baru.

Mengapa saya katakan susunan politik yang baru? Kerana tahun ini, remaja berusia 18 tahun ke atas akan layak mengundi dan diundi, seterusnya layak sebagai penggubal undang-undang negara.
Pendaftaran pengundi secara automatik juga akan dapat dilaksanakan.

Anak muda merupakan peneraju masa depan negara yang tercinta ini, dan merekalah juga yang akan membawa susunan politik yang baru serta membawa anjakan paradigma dalam pentadbiran negara.

Dari segi ekonomi, kita memasuki fasa baru dengan “e-commerce” yang dipertingkatkan dan beralih ke mata wang digital dengan penggunaan teknologi “blockchain” dan “AI” yang lebih luas untuk mengakses dan menganalisa data yang lebih besar.

Ruang siber akan menjadi ekosistem yang baru. Kekuatan ekonomi dan politik akan berada di tangan mereka yang dapat mengatur, memanfaatkan mahupun memanipulasi data besar ini.
Pada zahirnya, dunia akan menjadi satu rangkaian yang saling berkaitan, yang membawa kepada perkembangan dan norma baru.

IR4.0 (Revolusi Industri) adalah realiti yang bakal kita hadapi.
Transformasi teknologi ini akan mengubah ekonomi Malaysia serta memberi kesan kepada masa depan Sabah.

Di Sabah, kita perlu bergerak pantas dan lebih awal untuk memanfaatkan ekonomi digital ini. Infrastruktur ekonomi digital dan kepantasan teknologi internet ini harus dimanfaatkan untuk mengembangkan potensi kita.

Ini juga akan membuka jalan dan peluang baru bagi pelabur asing untuk masuk dan mempercepat kemajuan dan pembangunan negeri Sabah sejajar dengan visi Kerajaan GRS melalui halatuju SABAH MAJU JAYA.

Sabah boleh menjadi kuasa ekonomi digital yang baru, Internet dan “hub” perkapalan dan logistik antarabangsa.

Dengan perpindahan ibukota Indonesia ke Kalimantan, Sabah akan berpeluang menjadi kuasa besar ekonomi yang rancak lebih-lebih lagi jika Sabah dapat memperolehi hak sama rata di dalam Negara Malaysia.

Setelah hampir setahun dunia mengharungi pandemik Covid-19, dengan aspirasi positif, Tahun Baru 2021 dapat menjadi titik tolak ke arah masa depan yang lebih baik bagi Sabah dan rakyat Malaysia am nya.

Terima kasih.
Dr. Jeffrey G Kitingan