Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat dan JawatanKuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)

Pembuka tirai pentadbiran daerah Tambunan kini berlabuh dengan penyerahan pelantikan Ketua-ketua Adat dan PJPKK, ia meliputi Ketua Daerah, Kapitan Cina, 7 orang Ketua Anak Negeri, 11 orang Wakil Ketua Anak Negeri, 80 orang Ketua Kampung dan 88 orang PJPKK.

Dalam ucapan pembukaan oleh Pegawai Daerah Tuan Jumain Abdul Ghani, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada yang terlibat. Beliau menyarankan agar semua yang telah dilantik wajar menggalas tanggungjawab dan terus menyantuni rakyat. Tanggungjawab ini mestilah disusuli dengan sifat jujur, ikhlas dan amanah.

Dalam masa yang sama, Tuan Pegawai Daerah mengingatkan dan berpesan kepada semua agar terus mengamalkan SOP dalam membendung penularan virus Covid 19. Beliau menegaskan sekiranya daerah Tambunan diistihar sebagai zon PKPD maka kegiatan dan aktiviti ekonomi akan terganggu dan secara langsungnya menjejaskan sosio ekonomi rakyat daerah Tambunan.

Turut sama pada majlis tersebut adalah Pegawai Pembangunan Masyarakat Tuan Patrick Paunil. Dalam amanatnya kepada semua yang dilantik agar menjalankan tugas dengan amanah dan melalui saluran-saluran yang betul.

Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Robert Tawik Timbalan Menteri Kerja Raya bagi mewakili Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan. Dalam amanat dan perutusan beliau, ketua-ketua adat dan Pjpkk merupakan pemimpin masyarakat yang penting dan menjadi mata serta telinga kerajaan dalam mengenal pasti permasalahan masyarakat setempat. Dengan perlantikan ini maka hal-hal berkaitan adat istiadat, tanah dan keperluan masyarakat akan lebih mudah dipenuhi.

Beliau menambah, Mahkamah Anak Negeri merupakan satu institusi penting dalam menyelesaikan perihal adat istiadat. Sehubungan dengan itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan akan menaik taraf Mahkamah Anak Negeri setaraf dengan Mahkamah Sivil di masa depan.

Ketua-ketua Adat diingat agar terus menjaga tingkah laku dan selalulah menunjukkan sikap yang baik dan dihormati awam.

Demi menghargai peranan wanita dalam pentadbiran, pemimpin wanita turut bersama menerajui kepimpinan disemua peringkat. Ini selari dengan keputusan kabinet negeri yang memberi ruang sebanyak 30% kepada kepimpinan daripada wanita. Dalam menggalas tanggungjawab sebagai KAN, WKAN, Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK, wanita harus berani dan terus berusaha dalam membangunkan kampung dibawah pentadbirannya.

Beliau memberi amaran sekiranya ada dikalangan pemimpin yang gagal menjalankan tugas maka kerajaan dengan kuasa ada boleh melucutkan jawatan tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dr Evelyn Sungip Pegawai Kesihatan Daerah Tambunan, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan Tuan Rizal dan wakil daripada Setiausaha Tetap kerajaan negeri.