Segera perbaguskan liputan internet di kawasan ini – Flovia Ng

Kota Kinabalu, 21 November 2020 : Pada 18 November 2020, ADUN Tulid merangkap Pembantu Menteri II Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat YB Flovia Ng telah menyerahkan telefon pintar kepada beberapa kanak-kanak dari keluarga kurang mampu untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran atas talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah itu.

Alat itu disumbangkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hanafundme melalui kempen mereka # Digital4All atau #DigitalUntukSemua dengan kerjasama NGO Beyond Pitas yang berpangkalan di Sabah. Kempen ini diterajui oleh Puan Angie Chin-Tan, pengasas Hanafundme yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia. Misi dan visi kempen ini adalah untuk merapatkan jurang digital di kalangan anak-anak Sabahan yang kurang berkemampuan terutama di kawasan luar bandar.

Mengiringi YB Flovia untuk menyerahkan alat adalah Pengasas Bersama Beyond Pitas, Encik Justin Sunam-Wong.

Aktivis sosial yang menjadi ahli politik, YB Flovia menyatakan bahawa ini adalah kumpulan penerima kedua yang mendapat manfaat daripada kempen NGO-NGO itu. Yang pertama di Kg Bomboi dan Kg Kindasan di Tulid pada bulan September 2020.

“Saya mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh Hanafundme dan Beyond Pitas dalam merapatkan jurang digital di kalangan anak-anak yang kurang bernasib baik di Sabah. Saya berharap lebih banyak NGO sedemikian akan tampil untuk membantu kita membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

“Kita juga harus memahami bahawa definisi Jurang Digital dalam konteks Sabah tidak hanya merujuk kepada ketiadaan telefon pintar atau liputan internet yang kurang memuaskan tetapi juga merangkumi pendedahan anak-anak kita untuk membiasakan belajar menggunakan peranti digital seperti komputer riba dan desktop sama ada atas atau luar talian untuk membolehkan mereka menyertai era digital. Tidak seperti kanak-kanak di kawasan bandar, kebanyakan kanak-kanak di luar bandar tidak membesar dengan kemewahan ini. Oleh itu mereka serba kekurangan kamahiran menggunakan alat tersebut.

YB Flovia Ng berharap lebih banyak NGO akan tampil untuk membantu kerajaan dalam merapatkan jurang tersebut. Mengenai liputan internet di Negeri Sabah, beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri telah melancarkan inisiatif JENDELA yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti liputan internet di Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Namun, saya menggesa mereka untuk mempertimbangkan bahawa di kawasan-kawasan tertentu di Sabah seperti Kg Bomboi di Tulid, sekadar menaik taraf menara yang sedia ada tidak akan membantu meningkatkan liputan internet di kawasan itu secara menyeluruh kerana masalah disitu ada kaitannya dengan topografi kawasan tersebut.

YB Flovia juga kesal liputan internet di Papar khususnya di Kg Kayau dan Kg Marahang pada masa kunjungan mengejut beliau adalah kurang memuaskan dan beliau menggesa pihak-pihak yang berkenaan segera menangani perkara ini demi anak-anak di daerah itu untuk mengikuti kelas atas talian mereka tanpa halangan.

YB Flovia juga turut menderma kad SIM dan data kepada kanak-kanak tersebut untuk pembelajaran atas talian mereka.

Untuk menyokong atau menyumbang kepada Hanafundme, sila lawati laman web mereka https://www.hanafundme.com/product/plight-of-sabahs-students-with-studying-online/