Pas Sementara adalah untuk Semenanjung Malaysia saja – Dr Jeffrey

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan membantah satu kenyataan blog yang menyindir bahawa kerajaan pusat akan memberikan pas khas untuk pendatang tanpa izin di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengatakan bahawa kenyataan blog yang telah dimuat naik di media sosial hari ini amat mengelirukan dan benar-benar berniat jahat.

Blog yang sama juga telah menggunakan gambar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jeffrey sebagai gambar utama padahal gambar itu tidak ada kaitan langsung dengan kenyataan tersebut.

“Perdana menteri hanya merujuk kepada situasi di semenanjung bahawa pas sementara adalah berbeza seperti kad sementara di Sabah atau PSS yang telah dipertahankan oleh Warisan dengan bersungguh-sungguh dan angkuh pada awal tahun ini.

“Cadangan itu adalah untuk memberi pendatang tanpa izin yang sedia ada di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di ladang getah dan kelapa sawit secara sementara, ini membolehkan mereka bekerja selama setahun dua sebelum digantikan oleh pekerja yang sah,” katanya.

Selain itu, Jeffrey mengatakan bahawa Sabah mempunyai dasar buruh tersendiri dan imigrasi dimana kerajaan pusat tidak boleh campur tangan.

Di Sabah, situasinya berbeza kerana kadar pengangguran yang tinggi. Pemberian pas kerja khas kepada pendatang tanpa izin sama seperti mencuri peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah sendiri.

“Kerajaan Sabah yang baru tidak mampu mengulangi kesalahan Warisan. Rakyat Sabah telah melaungkan suara mereka dengan lantang dan jelas bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan perkara karut seperti itu, ”katanya.

Jeffrey menasihati pembangkang untuk mengugunakan masa ini dengan lebih baik dan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti bermain politik.

“Ini adalah masa yang amat getir terutama di Sabah di mana jumlah jangkitan Covid-19 belum menunjukkan penurunan yang positif. Daripada memutarbelitkan setiap perkataan yang keluar dari mulut pemimpin kerajaan, saya rasa mereka seharusnya menyumbangkan idea mereka untuk bersama sama memerangi wabak ini, ”katanya.