Kenali Calon PN (StarSabah) DUN N44 Tulid – Flovia Ng

Justin Sunam-Wong

Baru-baru ini saya berkesempatan untuk menyaksi dan mengenali lebih mendalam calon nombor 3 dalam PRN16 DUN Tulid. Kerana Pn Flovia Ng adalah satu-satunya calon wanita bertanding di DUN Tulid dan saya terdahulu mengenali beliau melalui kerja NGO, saya terpanggil untuk melihat sejauh mana beliau dapat membawa aktivisme beliau ke peringkat platfom yang lebih luas.

Sepanjang tiga hari di Tulid, interaksi kami amat terhad kerana maklumlah, ini musim berkempen tetapi saya teruja dengan sokongan paduh diberi oleh jentera bahagian terutamanya Ketua Bahagian Tn Evaritus Gungkit yang setiap hari menemani beliau dalam program. Ini petanda yang Pn Flovia memang calon yang terpilih.

Sementara meninjau beliau dari jauh, saya bertanya orang-orang disekeliling untuk mendapat gambaran komposit calon ini dan kawasan yang beliau memperjuangkan.

Pn Flovia adalah anak jati Tulid. Beliau dilahirkan di Hospital Keningau dan membesar di Kg Bariawa dan Minawo Laut. Anak kepada mendiang Lucia Samson Yomut, seorang bidan desa yang berkhidmat di kawasan Tambunan dan Keningau. Kenapa perlu disebut mendiang? Ini kerana saya berasa semangat berkhidmat Pn Flovia kepada masyarakat dipupuk sejak kecil dari pendedahan kepada perkhidmatan masyarakat mendiang ibu beliau.

Pn Flovia bukanlah dari keluarga berada. Beliau faham dan tahu apa itu membesar dalam kesusahan. Pengalaman kehidupan susah membuat beliau menjadi seorang yang cekal dan pintar mengorak langkah untuk mencari kejayaan hidup untuk diri sendiri.

Beliau berhijrah ke negara jiran Brunei pada tahun 1990 untuk mencari peluang perniagaan memandangkan peluang pekerjaan kurang di Sabah pada masa itu. Satu langkah yang berani, pintar dan praktik memandangkan pertukaran wang yang tinggi.

Beliau sendiri mengaku yang beliau ada mengikuti perkembangan politik di Sabah semasa berada di Brunei tetapi tidak mendalam. Hati beliau lebih terkesan daripada keadaan daif di kampung. Beliau mula tertanya mengapa Sabah yang juga kaya dengan sumber minyak tidak boleh mengangkat kebajikan rakyat sebaik seperti di Brunei? Semangat aktivisme beliau bermarak dari situ.

Pada tahun 2015, beliau mendapat alasan yang kukuh untuk kembali ke Sabah dan meninggalkan semua kesenangannya di Brunei. Ibu beliau tidak sihat dan rasa tanggungjawap sebagai seorang anak mengambil alih sepenuhnya.

Kita boleh nampak dari sini pegangan hidup beliau ada 2 unsur yang konsisten, khidmat dan tanggungjawap. Semasa NGO kami turun ke Tulid pada 9 September 2020 untuk mengagih bantuan pembelajaran atas talian untuk kanak-kanak di Kindasan dan Bomboi, saya sempat bertanya kepada beliau apa yang mendorong beliau untuk meluangkan masa dan wang sendiri untuk membantu kanak-kanak disitu.

Semasa saya ajukan persoalan itu, dari raut wajah beliau saya boleh melihat yang beliau tersentak sebentar. Mungkin perkara ini adalah normal bagi beliau dan tidak perlu dipersoalkan. Setelah merenung beberapa saat, beliau menjawap dengan penuh keikhlasan.

Saya juga seorang ibu. Fahamlah naluri wanita ni, apa lagi seorang ibu. Rasa prihatin itu semulajadi akan datang.

Sebenarnya, saya buat ini untuk kepentingan diri sendiri juga sebab saya ambil kesusahan orang kampung secara peribadi. Ini cara saya mengubati rasa sakit hati saya.

*

Saya pernah terdengar nasihat seorang pemimpin, ‘Bila kita ada kemampuan atau kebolehan, adalah tanggungjawap kita untuk mengguna semua itu untuk kebaikan masyarakat’. Saya pegang nasihat itu erat di hati. Sumbangan saya tidak juga besar macam mana pun, cuma kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Itu intipati jawapan beliau yang saya ingat.

Pn Flovia bermula sebagai aktivis masyarakat di kampung dan persekitarannya. Beliau sekarang menetap di Kg Bomboi. Beliau kemudian sedar yang beliau boleh meluaskan aktivisme beliau dengan menyertai sebuah parti politik. Satu lagi contoh kepraktikan beliau menumpang platfom parti untuk memanjangkan aktivisme beliau.

Selama ini beliau lebih selesa bergerak di latar belakang dan berpuas hati menjadi tulang belakang akar umbi StarSabah di DUN Sook. Beliau tidak mendamba pengiktirafan apa-apa. Tetapi kecekalan dan kegigihan beliau telah diperhatikan oleh pucuk pimpinan Wiranita Negeri dan beliau dipelawa untuk menggalas jawatan Timbalan Wiranita Negeri StarSabah.

Beliau memperakui yang beliau sifar dalam pengalaman politik tapi semangat mahu berkhidmat beliau sekali lagi mengambil alih dan semua keraguan diri diketepikan. Dengan rendah hati beliau setuju untuk menggalas tanggungjawap dengan syarat beliau dibimbing. Jelas yang beliau mengambil serius tanggungjawap beliau.

Mantan calon StarSabah P180 Pensiangan, Tn Richard Joe Jimmy sendiri menyokong pencalonan Pn Flovia dari pengalaman beliau semasa bertanding sebagai calon. Pn Flovia banyak membantu beliau, maka beliau turun padang untuk membantu program Pn Flovia. Beliau berkata,

Calon N44 adalah seorang yang akan memberi 100% komitment beliau. Dia akan buat kerja sampai siap.

Semasa membuat program di Kg Baitah pada 22 September 2020, saya sendiri menyaksikan keprihatinan beliau. Sebelum menuju ke dewan untuk ceramah parti, beliau terdahulunya menyinggah untuk menjenguk dan bertanya khabar penduduk-penduduk yang sedang sakit.

Perasaan mengambil berat nasib penduduk terukir ikhlas di raut wajah beliau. Meminjam idiom orang putih, ‘she wears her heart on her sleeve’. Maksudnya Pn Flovia tidak menyembunyikan perasaan beliau. Saya difahamkan beliau sebelum ini pernah menitis air mata bila melihat nasib seorang pesakit.

Seorang pemuda yang lumpuh akibat kecelakaan.
Saudara ini tersenyum menerima kunjungan. Pn Flovia berjanji untuk membuat kunjungan seterusnya.
Melawat seorang penduduk yang sakit uzur.

Berikut adalah rancangan Calon nombor 3. Beliau tidak selesa mengguna perkataan AkuJanji sebab menurut beliau, dia tidak mahu seperti orang politik yang hanya tahu menabur janji ketika berkempen. Maka ini adalah perancangan beliau.

  • Akan meneruskan Agenda Negara dalam usaha membangunkan Masyarakat Luar Bandar.
  • Kebajikan rakyat adalah antara agenda yang diberikan keutamaan seperti bantuan rumah.
  • Akan memastikan permasalahan rakyat diatasi bersama agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri.
  • Berusaha untuk memperbaiki jalan kebun bermula dari Kg Kindasan, Bomboi (Mukim Sebrang) dengan simpang 4 (Mukim Tulid).
  • Akan memastikan jalan penghubung antara Daerah Kecil Sook dan Daerah Tongod di laksanakan.
  • Memperkasakan sektor Pelancongan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Persekutuan, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia YB Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan.
  • Mencadangkan sektor penternakan ikan Kelah/Pelian secara besar-besaran di Kg Sinua. Satu sumber pendapatan kepada 11 Kampung di kawasan terdekat.
  • Mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan kilang memproses air yang akan dipanggil Trusmadi Water untuk memberi peluang pekerjaan.
  • Jalan-jalan utama untuk mengeluarkan hasil tani akan dinaiktarafkan sebagai antara agenda keutamaan.
  • Kemudahan seperti Dewan, Balai Raya, Jambatan Gantung, Jambatan Kenderaan akan diberi perhatian.

Beliau juga merakamkan keyakinan beliau kepada Kepimpinan Negara terutamanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mengatasi masalah Negara dan rakyat. Ini jelas dengan pengurusan pandemik Covid19 tegas beliau.

Justeru itu, saya menyeruh penyokong-penyokong agenda Pn Flovia Ng, calon nombor 3 untuk menyebarkan khabar datangnya seorang pejuang wanita untuk masyarakat Tulid. Seorang yang tidak berminat berpolitik tapi hanya mahu berkhidmat.

*Update: Nampaknya ada pihak yang tidak faham maksud tersirat dalam kenyataan ini dan cuba memutar belit kenyataan. Sebenarnya Pn Flovia merendahkan diri dengan mengecilkan sumbangan beliau. Pn Flovia menganggap kesusahan orang kg adalah masalah peribadi beliau. Maka membantu orang kg adalah juga untuk kepentingan peribadi, supaya beliau mendapat ketenangan dengan pengetahuan yang beliau sudah berusaha membantu.