YB Junz Wong seharusnya membantu keluarga Veveonah lebih awal

Columnist : WSJ, Kawadan Klias

Saya tertarik dengan judul berita Sinaran Harian semalam. Keluarga Veveonah terima rumah burung Walit jika Warisan menang.

Memang ini adalah perkembangan yang baik untuk keluarga adik Veveonah Mosibin. Apatah lagi baru-baru ini adik Veveonah difitnah di Dewan Rakyat dengan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahid Zainul Abidin yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan mohon maaf.

Yang menjadi tanda tanya, kenapa tawaran ini tidak dibuat lebih awal? Bagaimana kesusahan keluarga adik ini boleh terlepas dari radar YB yang juga memegang portfolio Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah sebelum ini?

Adik Veveonah menjadi topik hangat beberapa bulan yang lalu kerana kegigihannya untuk menduduki peperiksaan menjadi berita viral sehingga ke luar negara. Sehingga dia dijemput ke istana negeri.

Sayang tawaran YB hanya datang menjelang PRN. Jika tidak, tawaran YB akan dilihat lebih ikhlas. Sudah tentu Pitas sebelum ini ada di radar YB kerana beliau sendiri memperakui yang 55 buah rumah burung Walit telah dibina di daerah Pitas oleh kementeriannya. Kampung Sapatalang berada di daerah Pitas.

Memetik kenyataan beliau dalam Sinar Harian:

Pitas merupakan kampung halaman Veveonah yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) selama beberapa kali pilihan raya.

“Namun Pitas dan Kudat telah lama dipegang oleh UMNO tetapi ia merupakan daerah termiskin di Malaysia.”

Ketua Menteri Sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apadal adalah Menteri portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam kerajaan Persekutuan UMNO dari tahun 2009 ke 2015. Beliau patut boleh menjelaskan mengapa selama beliau menyandang Kementerian ini, tiada perubahan yang dibawa ke Pitas dan Kudat.

‘Jika’ menang? Tawaran YB datang dengan kaveat. Apa akan berlaku jika Warisan tidak menang? Tidak kah sia-sia kesusahan dan keperitan adik Veveonah menanggung fitnah ini dieksploit pula untuk pancingan undi YB? Sudah jatuh ditimpa tangga.