RAKYAT PERLU UNDI BLOK PEMBANGKANG SABAH UNTUK IKTIRAF 31 OGOS SEBAGAI HARI KEMERDEKAAN SABAH : Ts Ir Jovilis Majami

1 September 2020, Kota Kinabalu: Kenyataan Presiden STAR Sabah dan Ketua Pembangkang Sabah Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan (DDJK) dalam ucapannya semasa sambutan Hari Kemerdekaan Sabah anjuran Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat (PIPA) bahawa Kerajaan Sabah perlu mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah selaras dengan berakhirnya pemerintahan British pada 31 Ogos 1963 merupakan sesuatu berita baik kepada seluruh Rakyat Sabah.

Namun demikian ianya cuma boleh direalisasikan sekiranya blok pembangkang yang diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey G. KItingan ketika ini mengambil alih Kerajaan Negeri daripada kerajaan sedia ada menurut Ts. Ir. Jovilis Majami.

Ts. Ir. Jovilis Majami berkata bahawa pengiktirafan secara rasmi Hari Kemerdekaan Sabah ini hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang menerajui Sabah seperti kerajaan Warisan yang memerintah ketika ini tetapi tidak melakukannya.

“Kerajaan Sabah yang diterajui oleh parti Warisan selama ini mempromosikan bahawa parti mereka memperjuangkan hak-hak Sabah tetapi sehingga kini mereka gagal untuk mengiktiraf 31 Ogos ini sebagai Hari Kemerdekaan Sabah walaupun mereka telah melewati tiga kali 31 Ogos”

“31 Ogos ini adalah hak kita dan kita bebas untuk mengiktirafnya secara rasmi kalau benar-benar kita mahu berjuang untuk Rakyat Sabah”

Menurut Ts. Ir. Jovilis untuk memastikan impian 31 Ogos ini diiktiraf sebagai Hari Kemerdekaan Sabah maka seluruh Rakyat Sabah perlu memastikan kemenangan kepada blok pembangkang Sabah.

“Sabah akan bakal menghadapi PRN dalam bulan ini oleh itu kesempatan ini kita boleh gunakan untuk tukar kerajaan yang sedia ada”

Ts. Ir. Jovilis berkata bahawa beliau menaruh kepercayaan penuh terhadap DDJK dan blok pembangkang di Sabah yang mana mereka dapat mengiktiraf secara rasmi Hari Kemerdekaan Sabah ini sekiranya mereka diberi peluang oleh Rakyat Sabah untuk menerajui Sabah memandangkan DDJK beberapa parti pembangkang yang lain telah pun menyambut Hari Kemerdekaan Sabah ini sejak 10 tahun yang lalu.

“Sejak tahun 2010 Hari Kemerdekaan Sabah ini telah diraikan oleh beberapa NGO yang mana NGO-NGO ini disokong dan didokong oleh parti-parti politik tempatan Sabah termasuklah DDJK”
Menurut Ts. Ir. Jovilis lagi dengan mengiktiraf 31 Ogos ini sebagai Hari Kemerdekaan Sabah juga akan melenyapkan tuntutan-tuntutan daripada kerajaan luar seperti Filipina terhadap Sabah.

“Apabila kita isthiarkan secara rasmi bahawa kita telah merdeka maka mereka sudah tentu tidak akan berani untuk menganggu Sabah kerana mereka sedar bahawa Sabah ini adalah milik Orang Sabah”

“Cuma kita memilih untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada tahun 1963 untuk menubuhkan satu persekutuan baru yang dipanggil Malaysia”.

Ts. Ir. Jovilis yang juga merupakan Pengerusi Penganjur Sambutan Hari Kemerdekaan Sabah 2020 berkata dengan pengiktirafan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah juga boleh dijadikan asas untuk kita mengambil balik hak kita di dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita selalu bercakap berkenaan dengan hak-hak kita dicabuli, ditipu dan sebagainya maka kita seharusnya tidak takut untuk melaksanakan suatu perkara yang sepatutnya kita sendiri (Kerajaan Sabah) berhak untuk laksanakannya”

“Hari Kemerdekaan Sabah ini adalah milik kita maka kita berhak untuk memartabatkan dan meraikan hari kemerdekaan ini mengikut acuan kita sendiri”