Ketua Wiramuda Bahagian N25 Kepayan STARSABAH menyokong penuh desakan Datuk Dr Jeffrey mengenai Hari Sabah

KOTA KINABALU 31 Ogos 2020 : Ketua Wiramuda Bahagian N25 Kepayan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Gregory Jonathan Jeffree @ Gary menyuarakan sokongan penuh mengenai kenyataan dari Presiden Parti, Yang Berhormat Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengenai pengiktirafan tarikh 31 Ogos sebagai hari kemerdekaan bagi negeri Sabah.

Berdasarkan fakta sejarah, Sabah ataupun dikenali sebagai North Borneo pada ketika itu, mencapai kemerdekaan setelah diberikan hak untuk memerintah sendiri oleh British pada 31 Ogos 1963 sehinggalah penubuhan Federasi Malaysia pada 16 September 1963.

“Amat penting sekali bagi anak-anak muda dan belia khususnya warga Sabah bagi mengetahui asal usul kemerdekaan negeri kita yang tercinta ini. Detik bersejarah negeri ini amat penting bagi kita untuk mengambil iktibar dan memupuk semangat patriotisme serta mengukuhkan perpaduan rakyat yang berbilang etnik, bangsa dan agama.

“Anak-anak muda dan belia adalah peneraju pelapis kepimpinan dalam negeri mahupun negara pada masa hadapan. Kerana itu, sejarah penting ini penting dalam membentuk kebolehupayaan dan integriti seseorang belia untuk menghadapi cabaran baru dalam kancah politik pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas semasa Sambutan Hari Kemerdekaan Sabah 2020 yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan iaitu Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat (PIPA) di Sokid Villa, Bukit Padang pada awal pagi hari ni.