Gazzette kan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan Sabah : Datuk Dr Jeffrey

31 Ogos 2020, Kota Kinabalu : Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan mengatakan 31 Ogos harus diiktiraf sebagai hari kemerdekaan Sabah dan beliau akan pastikan ia digazette kan sekiranya STARSABAH ada di dalam kerajaan negeri kelak.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam upacara perayaan Hari Sabah ke 57 di perkarangan ibu pejabat STARSABAH di Sokid Villa hari ini.

Turut serta dalam perayaan itu adalah Datuk Seri Panglima Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti SAPP dan Datuk Mohd Noor Mansur, Pengerusi Gabungan Sabah serta dif-dif kehormat.

Beliau berkata pengiktirafan hari kemerdekaan Sabah secara efektif akan mematikan tuntutan Filipina keatas Sabah. Ini kerana salah satu syarat yang ditetapkan oleh negara Filipina masa lalu untuk mereka melupuskan tuntutan ke atas Sabah ialah Sabah harus dimerdekakan sebelum pembentukan Malaysia.

Pada 8 Ogos 1963, Majlis Perundangan Borneo Utara yang dipengerusikan oleh Gabenor Sir William Goode telah sebulat suara meluluskan Resolusi kemerdekaan Borneo Utara (Sabah dikenali masa itu) pada 31 Ogos 1963 samada projek Malaysia akan direalisasikan pada hari itu atau tidak. Hari Malaysia hanya direalisasikan pada 16 September 1963.

Beliau berkata kemerdekaan de facto sudah dicapai pada 31 Ogos 1963 dengan Gabenor terakhir Borneo Utara, Sir William Goode sendiri mendeklarasikan hari pemerintahan sendiri dan kemerdekaan Sabah pada hari itu.

“Ada yang cuba menidakkan kemerdekaan kita dengan mengatakan kita tiada Akta Kemerdekaan tapi banyak negara-negara dunia juga mencapai kemerdekaan tanpa Akta ini. Termasuk Amerika Syarikat.

“Beza antara kita dengan mereka (AS) ialah kemerdekaan kita disaksikan dan disokong penuh oleh wakil tertinggi British.”

Datuk Dr Jeffrey menyatakan bahawa Sarawak telah menggazettekan Hari Kemerdekaan mereka pada tahun 2016. Maka tiada lagi sebab untuk kita melengahkan pembetulan sejarah kemerdekaan kita.

Beliau berkata lagi yang pengisytiharan hari kemerdekaan Sabah juga akan mengukuhkan tuntutan pengembalian status sama rata kita sebagai rakan pembentukan Malaysia.

Beliau mengimbas kembali kepada Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 dimana telah menyebut Sabah sebagai “negara”. Malah yang Di Pertua kita dipanggil Yang Di Pertua Negara Sabah.

Nota Editor : Kongress Benua (koloni-koloni British di benua Amerika Utara) telah meluluskan Resolusi Lee pada 2 July 1776. Resolusi ini menyatakan mereka bebas dari jajahan Britain.