PIPA AKAN MENGANJURKAN SAMBUTAN ‘SABAH DAY 2020’

Sabah Day Disambut setiap 31hb Ogos di Sabah

Kota Kinabalu, 25 Ogos: Setelah berjaya menganjurkan ‘Sabah Day 2019’ bersama dengan NGO Solidariti Rakyat Sabah (SORAK) pada tahun lepas Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat atau lebih dikenali sebagai PIPA telah diberi mandat sepenuhnya untuk menganjurkan Himpunan Sambutan ‘Sabah Day 2020’ pada tahun ini pada 31 Ogos 2020 bertempat di Sokid Villa, Bukit Padang.

Menurut Pengerusi Penganjur Ts. Ir. Jovilis Majami sambutan ‘Sabah Day’ ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk kefahaman Rakyat Sabah terhadap sejarah Sabah yang sebenar yang mana Sabah ini telah pun berkerajaan sendiri sebelum bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

“Selain daripada memupuk kefahaman terhadap sejarah Sabah penganjuran program ini juga akan menyemarakkan kembali kecintaan Rakyat Sabah terhadap Sabah yang seakan-akan mula dilupakan”

“Disamping itu juga, dengan penganjuran program ini ianya akan dapat membuka mata genarasi hari ini tentang jerih payah yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah”

Menurut Ts. Ir. Jovilis Majami ini juga merupakan satu penghargaan yang tinggi kepada NGO PIPA memandangkan situasi ketika ini negara masih lagi dalam memerangi COVID-19.

Ts. Ir. Jovilis berkata dalam situasi semasa penganjuran kali ini terpaksa diadakan secara tertutup dan dihadkan kepada 250 orang peserta sahaja untuk menghadirinya bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti apa yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysai (KKM).

“Dalam program ini nanti pihak penganjur juga akan memastikan SOP PKPP dipatuhi oleh setiap peserta seperti mencatat nama, mengambil suhu badan, memakai pelitup separuh muka dan menjaga penjarakan sosial”

“Untuk memastikan SOP PKPP ini dapat dipatuhi pihak kami telah menghantar surat jemputan kepada yang berkenaan (NGO-NGO dan PARTI-PARTI POLITIK ) dan meminta mereka menyeneraikan nama-nama peserta yang mereka hantar dalam program ini”

“Maka itu saya galakkan para peserta untuk membawa sendiri pelitup separuh muka atau mereka juga boleh membelinya di kaunter pendaftaran”

Menurut Ts. Ir. Jovilis lagi penganjuran program “Sabah Day” merupakan kesinambungan daripada sambutan pada tahun-tahun yang lepas yang mana mengikut sejarah sambutan ini dimulakan pada 31 Ogos 2010 dengan dianjurkan oleh Sabah Youth Solidarity (SYS) bertempat di Tugu Memorial Malaysia.

Selepas itu, sambutan setiap tahun diadakan yang mana ianya dianjurkan oleh beberapa NGO seperti Solidariti Rakyat Sabah (SORAK), Momogun Movement for Self-Determination (MOSIK), Bangkit Anak Negara Sabah (BANSA), Borneo Heritage Foundation (BHF), Sabah Sarawak Union (SSU) dan PIPA serta beberapa parti politik tempatan Sabah seperti Sabah Progressive Party (SAPP), Parti Solidariti Tanahairku (STAR Sabah), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Gabungan Sabah (GS) yang pada ketika itu dianggotai oleh SAPP, STAR, HARAPAN RAKYAT DAN PPRS.

“Antara pemimpin-pemimpin yang dijangka menghadiri program ini adalah Ybhg. Datuk Haji Mohd. Noor Mansur, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan dan beberapa pemimpin lain termasuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga telahpun mengesahkan kehadiran mereka”

“Kemuncak bagi program ini ialah para peserta mendengar ucaptama serta amanat yang disampaikan oleh beberapa pemimpin ulung kita tentang Sabah Day ini”

Ts. Ir. Jovilis menambah bahawa selepas sahaja program Himpunan ‘Sabah Day 2020’ di Sokid Villa selesai pada hari berkenaan parti STAR Sabah akan ada program iaitu pelancaran album STAR Sabah Vol.2 yang menampilkan beberapa penyanyi terkenal tempatan Sabah.

“Memandangkan lokasi himpunan ‘Sabah Day’ dan pelancaran album STAR Sabah Vol. 2 itu ditempat yang sama maka para perserta himpunan dialu-alukan untuk turut serta dalam pelancaran album STAR Sabah Vol.2 ini”

Selamat Menyambut Sabah Day Tahun 2020